escapade ... journey to the east (java) cont.

uh. dingin malam di Wonokitri bukan calang-calang. barangkali suhunya mencecah sub-zero. tidur malam kami tidak lena dicengkam kesejukan. mungkin juga ditambah dengan keterujaan kami menanti esok hari.
pukul 3.30 pagi, masing-masing sudah terjaga. dan yang pasti, dalam suhu sedemikian, masih lagi sanggup kami mandi menyiapkan diri. kerja gila! tertawa kecil kami bila mengingatkan waktu itu. sesudah bersiap, kami berkumpul di lapangan parkir pacuan empat roda yang akan bergerak ke penanjakan. tidak banyak kenderaan yang bakal bergerak ke penanjakan kali ini, lantaran status bromo yang masih tidak menentu.


4 pagi, kenderaan kami sudah mula bergerak mendaki jalan yang sempit, dalam gelap ke puncak penanjakan.di puncak ini siap dengan lapangan luas yang dibina oleh pihak bertanggungjawab, sebagai tempat untuk para pelancong melihat keindahan kaldera Tengger. sempat kami makan jagung bakar dalam kesejukan naik ke puncak. aneh tapi benar, dalam kesejukan mencecah sub-zero begitu, masih ada pedagang asongan yang tegar mencari jualan 'pecah telur'. istilah yang aku pelajari sewaktu di pasar baru, bandung yang merujuk kepada jualan pertama oleh para peniaga disitu.


ah. mujur langkah kami tak perlu kudrat yang banyak untuk ke 'viewpoint'. sudah tersedia tangga-tangga batu yang landai untuk kami ke sana. seperti yang dibilang, waktu siaga begitu, bilangan pelancong yang melawat boleh di kira dengan jari. tak silap hitung aku, kurang dua puluh orang yang berlegar di sekitar ruang tinjau itu. yang bagusnya, lebih ruang untuk aku , yanto dan beberapa jurugambar mencari sudut-sudut terbaik untuk merakamkan pemandangan epik kaldera tengger itu. nasib kami kurang baik, musim lembap membawa awan tebal meliputi segenap ruang kaldera. yang kelihatan, dan masih menakjubkan buat aku, hamparan awan putih...yang ditengah-tengah nya diterjang oleh asap dari kawah bromo dan semeru. matahari terbit juga tidak kelihatan , dilitupi langit berawan di belah timur kaldera.


lama kami menghabis waktu, terutama aku yang mencari sudut dan menunggu sambil berharap, litupan awan di angkasa kaldera itu berlalu...namun hampa. lantaran sudah kebosanan, kami berempat mulai bergerak meninggalkan ruang tinjau penanjakan dan mula bergerak ke kaldera, mendekati bromo.

perjalanan bak rali dakar benar-benar mengundang resah, bila melihat pacuan empat roda kami menuruni lereng penanjakan yang curam, di tambah tebing-tebingnya yang runtuh. sebaik sahaja tiba di lantai kaldera, sudah ada joki-joki mengejar kenderaan kami bersama kuda-kuda mereka, menawarkan perkhidmatan untuk mendekati kaki gunung bromo. iya...waktu-waktu begitu, masih ada kegilaan sebegitu. kalaulah waktu itu bromo melepaskan 'batuk' nya...hehe.


mungkin kami dihimpit kebimbangan yang terlalu, lantas tawaran untuk mendekati bromo dengan menunggang kuda, biarpun sekadar di kaki nya sahaja bulat-bulat ditolak. kami lebih senang menghabiskan waktu di perbatasan menatap 'batuk' bromo dan mengambil foto di sekitar. saat itu, bila dihitung, tinggal kami berempat sahaja bersama pemandu yang masih berlegar. sepi kaldera itu hanya dipecah oleh gelak tawa kami memotretkan diri berlatar belakangkan bromo yang semakin batuk. sesekali, angin kencang bertiup menerbangkan pasir-pasir halus di sekeliling. sampai satu ketika, terpaksa kami selubungi wajah dari disapa debu-debu ini.






asap semakin kuat. bromo batuk besar nampaknya. kami berkeputusan untuk bergerak meninggalkan kaldera. agak terkilan mengenangkan kunjungan kali ini, lawatan ke savana tiada dalam rencana.

sekali lagi kami menaiki 4WD yang dipacu bak rali dakar apabila mendaki kembali lereng penanjakan yang ditinggalkan sebelum ini. kecut perut bila mengenangkan sebelah jalan di lereng kaki penanjakan itu runtuh, dan dilepasi kami. supir berhenti sebentar di penanjakan 2, untuk melihat kaldera dari sisi berbeza. lokasi nya lebih rendah dari penanjakan 1, namun masih mampu menggamit rasa apabila menatap bromo dan gunung-gunung di sekitarnya.

ah...waktu itu Harimau Malaya baru sahaja dinobatkan sebagai raja bola sepak asia tenggara, dan dalam seteru terakhir menewaskan Garuda. perang mulut antara penyokong tegar kedua-dua buah pasukan, bukan calang-calang. sedikit sebanyak turut mengundang gundah di hati kami sewaktu memutuskan untuk terbang. dan hati kami sering terdetak tiap kali disapa dan ditanya dari mana asal kami.

hakikatnya, kami yang berlebih-lebihan. penduduk-penduduk tempatan yang menyapa kami tidak sekelumit pun menampakkan jelek mereka bila mengetahui kami berasal dari Malaysia, malah menyahut gembira ' Safee!' sambil tangan menunjukkan tanda bagus...dan yang paling lucu ' Upin Ipin!'. kedua-dua perkara ini sering menjadi topik tatkala kami disapa oleh warga indonesia dalam perjalanan kami.

sewaktu di penanjakan 2, kami di sapa mesra oleh sekumpulan penunggang basikal yang dalam misi libur hujung minggu sambil 'mount biking' disekitar taman negara tengger. mereka ini merupakan teman sekantor. panjang kami berbual dalam mesra dan terharu bila dilayan begitu. 'ini saudara2 kita dari seberang' ujar salah seorang antara mereka, langsung mahu aku mengambil foto bersama-sama sebagai kenangan. kami berkongsi akan rencana kami yang mahu menjengah kawah ijen selepas ini, dan langsung di beri pelbagai tips oleh mereka, lantaran mereka pernah berkunjung ke sana.


aku juga disapa oleh seorang warga tempatan yang berniaga disitu. pada mulanya aku agak berat untuk berbual kerana memikirkan dia mungkin antara pedagang asongan yang mahu menjual sesuatu. sangkaan aku meleset...dia hanya sekadar mahu berbual mesra, dan bercerita tentang pengalamannya bekerja di malaysia selama beberapa tahun sebelum ini.

sesudah selesai sesi ramah mesra bersama warga setempat, kami naik ke kawasan yang lebih tinggi di penanjakan 2 itu, dan langsung bertemu dengan 2 penunggang motorsikal yang sama2 berkunjung ke pasir berbisik pada awal tadi. mereka juga menyapa mesra dan menawarkan kami makanan yang di bawa mereka, sambil sama-sama menikmati pemandangan bromo dari situ.

batuk bromo semakin menjadi2...dari 'viewpoint' penanjakan 2, kami menyaksikan asap semakin tebal keluar dari kawah dan meliputi kawasan kaldera tengger yang luas itu.



lama kami berehat, akhirnya memutuskan untuk bergerak pulang ke penginapan, memandangkan kami perlu daftar keluar pada waktu tengahari sebelum meneruskan perjalanan kami ke Banyuwangi. 

tbc.

Popular Posts