escapade ... journey to the east (java!) cont.



hujan renyai-renyai meraikan kedatangan kami sewaktu kereta mula mendaki laluan ke penanjakan. Ujar Yanto, kami akan terus ke 'Wonokitri', sebuah perkampungan kecil yang menjadi salah satu pintu masuk ke kaldera Tengger. perlahan suhu sejuk tanah tinggi menyelubungi ruang, di tambah dengan hujan yang sudah menjadi lumrah waktu-waktu itu di jawa timur.



jalannya kecil dan sempit, berliku-liku, tak ubah seperti laluan Tapah - Cameron Highland. tidak banyak kenderaan pada waktu itu, mungkin disebabkan status siaga Bromo yang menghalang perancangan para pengunjung ke kaldera. entah berapa lama kami menelusuri laluan itu, lantaran aku sendiri dihimpit rasa mengantuk yang menjadi-jadi dalam cuaca sejuk.


akhirnya kami tiba di Wonokitri. sebaik sahaja kereta di parkir, kami didatangi beberapa penduduk tempatan yang langsung bertanyakan perancangan dan menawarkan perkhidmatan, baik menginap, mahupun sewa kenderaan pacuan empat roda ke bromo. maklum juga, waktu-waktu kurang pengunjung sebegini, setiap pengunjung luar yang tiba, merupakan rezeki mereka. oh...biarpun situasi mendesak, namun tertib dan santun mereka masih tebal. tidak sejengkel pedagang asongan di kintamani dan tangkuban perahu.


penginapan suryanata. rumah tamu dengan kemudahan asas yang paling minimum. tidak ada air panas. cuma 4 kamar dengan katil kelamin dan tandas/bilik mandi persendirian, dan ruang tamu. kami menyewa dua bilik di rumah tamu ini pada harga yang relatif nya agak murah, seingat aku. maaf. langsung terlupa perinciannya. tempahan untuk pacuan empat roda ke puncak penanjakan dan lautan pasir juga dibuat menerusi mereka. sesudah mengangkat barang-barang dari kereta, masing-masing melepaskan lelah perjalanan sebentar di kamar. waktu mahu berwudhu, duh...baru terasa kesejukan yang mencengkam.


melihat waktu di jam tangan, rupanya masih awal. kami tiba di Wonokitri lebih kurang jam 2 -3 petang. sudah lewat waktu makan siang, dan perut mula mencari-cari pengisiannya. kami berempat berjalan di sekitar mencari  warung makan.Pilihan yang ada amat terhad, ada 2-3 buah warung kecil sahaja di Wonokitri dan pada waktu sedemikian, lauk pauk untuk makan siang juga sudah habis. 


oh...mujur juga ada Yanto, dapat membantu kami memastikan halal atau tidak warung-warung tersebut, lantaran hakikatnya, sebahagian besar penduduk Tengger beragama hindu. Keturunan mereka ini adalah yang masih tinggal di tanah jawa selepas sebahagian besar mereka berpindah ke pulau Bali dan sekitar setelah pengislaman kerajaan majapahit beberapa kurun yang lepas.

Makan siang kami cukup ringkas, nasi kuning bersama sambal jawa dan telur goreng. tidak banyak pilihan dan aku rasa memang itu yang ruji di situ selain dari pelbagai jenis mee segera. mungkin untuk menikmati daging merah (selain babi) dan ikan, adalah satu kemewahan buat penduduk disini. apapun, dengan perut yang sudah lapar, dan cuaca yang sejuk, lauk seringkas itu, sebegitu nikmat buat kami.

Sesudah makan siang, kami pulang ke rumah tamu. Dari jauh, kami lihat perkarangan dipenuhi orang ramai dan beberapa buah mobil lain. Rupanya, ada karyawan sinetron dari kota yang menumpang di rumah tamu yang sama, untuk membuat penggambaran di situ. Maaf, aku pun tak kenal siapakah para pelakonnya...bukan wajah-wajah biasa yang mengisi slot-slot sinetron dari tanah seberang di malaysia. 'Gadis Desa', itu nama produksinya.Mereka menyewa lagi dua bilik yang kosong di rumah tamu itu. Sempat jugalah kami melihat penggambaran sinetron tersebut dijalankan beberapa lokasi sekitar.


Menunggu malam, kami berjalan-jalan dalam hujan renyai, dan singgah di warung menikmati kopi mengisi waktu.Oh..ada juga disapa penduduk tempatan yang menjual 'snow cap' dan 'muffler'. Waktu malam menyapa, kesejukan mula menggigit lebih. Sempat kami menumpang penduduk tempatan memanaskan diri yang berkumpul dihadapan 'pendiangan' kecil mereka. Bekas besi yang didalamnya dibakar arang.
Makan malam di warung yang sama dan menu yang sama, cuma kali ini, nasi putih menggantikan nasi kuning. Sesudah solat, kami melelapkan diri, lantaran esok, hari kami bakal bermula awal.

(to be continued).

Popular Posts